Monday, 20 May 2013

KEAJAIBAN MUZIK

Buat sesiapa yang suka dengar muzik macam aku, baca ni. 

Hasil penelitian daripada 400 kertas kajian dalam neuro kimia muzik mendapati ia boleh memperbaiki fungsi sistem imun badan dan merendahkan tahap tekanan yang dialami oleh seseorang. Malah kesan muzik juga didapati jauh lebih baik berbanding mengambil ubat bagi mengurangkan keresahan seseorang pesakit khususnya sebelum masuk ke dalam dewan pembedahan. Memang semua orang sukakan muzik malah Islam pun tidak melarang bermain atau mendengar muzik selagi tidak melanggar batas yang ditetapkan atau yang boleh melalaikan daripada menunaikan kewajipan harian. Otak kita ada dua bahagian, iaitu otak kiri (pemikiran logikal) dan otak kanan (pemikiran kreatif) yang boleh dihubungkan fungsinya melalui muzik. Otak bertindak balas terhadap muzik lembut dan tenang melalui beberapa pertukaran daripada fasa beta (pemikiran cergas dan peka) kepada alfa, teta, dan delta (ketika tidur lena, iaitu fasa yang sangat tenang).


  • Kajian yang disiarkan dalam Jurnal Psikiatri British mendapati terapi muzik yang digabungkan dengan penjagaan standard, memberi kesan yang lebih baik dalam merawat kemurungan. 

  • Dalam kajian pada 2011 mencadangkan bahawa keterujaan mendengar atau bermain muzik sama seperti keterujaan seseorang terhadap makanan dan hubungan seks kerana ia mendatangkan keseronokan. 

  • Lembu yang didendangkan alunan seruling didapati lebih sihat dan menghasilkan banyak susu. 

  • Bayi berusia tiga bulan yang belajar tugas mudah sambil mendengar muzik klasik didapati boleh melakukan tugas berkenaan tujuh hari kemudian apabila muzik sama dialunkan. 

  • Pelajar yang mendengar muzik klasik didapati mempunyai pencapaian lebih cemerlang dalam pelajaran. 

  • Dua kajian yang disiarkan dalam jurnal Terapi Muzik melaporkan, wanita mendakwa berasa kurang sakit jika mendengar muzik ketika melahirkan anak. 

  • Memberi anak dalam kandungan mendengar muzik juga dikatakan dapat merangsang pendengaran janin dan sel otak. Ini boleh meningkatkan proses pembelajaran bayi dan kanak-kanak. 

  • Kajian menunjukkan kanak-kanak yang diperdengarkan muzik klasik seperti Mozart lebih cepat ‘matang’, mempunyai rasa ingin tahu yang lebih tinggi, berdikari, yakin, ada sifat penyayang, cepat belajar dan memahami serta mampu menguasai bahasa dan kemahiran sosial lebih awal berbanding rakan sebaya. 

  • Bayi yang diperdengarkan alunan muzik juga didapati lebih tenang, mudah disusu dan ditidurkan, peka dan mudah berinteraksi serta memberi gerak balas. Lebih penting, bayi lebih mudah dijaga kerana kurang meragam. 


    Muzik juga digunakan sebagai satu daripada terapi dalam dunia perubatan silam. Pengamal perubatan klasik Cina percaya hati manusia suka pada muzik dan ia menjadi tenang apabila telinga mendengar muzik. 
    Menurut perubatan klasik Cina, apabila marah, kita perlu membuat bunyi ‘shhhh’ selama lima hingga 10 minit bagi meredakan kemarahan. Manakala bunyi ‘ha’ untuk rasa geram (ha seperti bunyi ketawa yang boleh menggembirakan) dan ‘ssss’ bila sedih. Kaedah perubatan kuno India juga ada unsur muzik dan bunyi seperti ‘ihhh’ untuk gangguan emosi, ‘ahhh’ (cinta), ‘eee’ (intuisi) dan ‘huuu’ bagi merangsang pemikiran kreatif. 

    Malah, dalam Islam juga ada irama atau ‘lenggok lagu’ yang sememangnya mampu membuatkan kita berasa tenang, contohnya bacaan al-Quran dan laungan azan. Kitab suci al-Quran ada cara tertentu untuk membacanya dan corak bacaan inilah yang memberikan kesan besar terhadap perasaan dan fikiran. Sejarah membuktikan ramai ilmuan dan doktor Islam seperti Zekeriya Er-Razi (854-932), Farabi (870-950) dan Ibnu Sina (980-1037) menggunakan terapi muzik untuk merawat pesakit yang mengalami gangguan psikologi. Berdasarkan pemerhatian kecil penulis, ramai memberikan maklum balas positif apabila ada yang memuatnaik alunan zikir daripada penyanyi nasyid atau penceramah agama. Bahkan ada yang menjadikan alunan zikir itu sebagai ‘lagu’ untuk didendangkan kepada bayi mereka yang ternyata mampu membuatkan si kecil berasa lebih tenang serta kurang meragam. 

    Pemilihan jenis muzik bergantung kepada cita rasa setiap individu. Namun, secara umumnya muzik lembut, terutama lagu klasik, memberi kesan besar kepada kebanyakan orang. Pemilihan muzik ini perlu setara dengan emosi yang dialami. Biasanya, ketika marah, kita lebih suka mendengar muzik kuat dan rancak; kemudian perlahan-lahan beralih ke muzik perlahan. Atau ketika sedih, hati rasa lebih serasi dengan lagu mendayu. Tidak mengapa jika lagu berkenaan membuatkan air mata mengalir kerana secara semula jadi selepas menangis hati, kita berasa lebih tenang. Namun, jika selama ini kita lebih cenderung kepada muzik yang ada pengaruh Barat, cubalah jinakkan hati mendengar muzik bercorak keagamaan atau mendekatkan kita dengan agama. 

    Penyelidik menemukan bukti kukuh bahawa muzik boleh memainkan peranan penting dalam penjagaan kesihatan seseorang daripada bilik bedah kepada klinik keluarga. Malah saintis juga mendapati muzik memberi kesan ke atas empat perkara iaitu pengurusan emosi, tekanan, ketahanan badan dan hubungan sosial. Malah muzik juga dapat menyemarakkan semangat contohnya ketika bersenam. Alunan muzik bukan saja akan membuatkan kita berasa seronok, bahkan ia secara tidak disedari membantu meningkatkan ketahanan, merangsang emosi dan menjadikan kita terlupa akan masalah yang membelenggu jiwa. Dalam satu kajian lain penyelidik turut mendapati bahawa apabila kita mendengar muzik, badan akan menghasilkan endorfin iaitu hormon ‘rasa senang dan selesa’ yang menjadikan emosi bertambah baik serta memberi kita semangat untuk bersenam lebih lama. Pun begitu, jika muzik masih belum boleh memberi ketenangan yang kita cari, cubalah dengar alunan zikir atau bacaan al-Quran. Lebih baik jika kita sendiri yang mengucapkannya berulang kali. Kalimah ini bagai ada keramatnya, kerana dengan beberapa kali sebutan saja, hati akan jadi tenang. Ia adalah muzik terbaik untuk setiap jiwa sama ada yang tua atau muda.


    Sumber : Harian Metro
  • No comments:

    Post a Comment