Saturday, 18 May 2013

BELAJAR UBATI KEKECEWAAN

Hai semua. Petang hari yang redup ni aku rasa terpanggil untuk mengupdate blog dengan tajuk entri di atas. Sumber yang diambil daripada sekeping keratan artikel yang diberi oleh seseorang kepada aku 5 tahun yang lepas, saat aku dilanda masalah. Ya, seseorang yang pernah hadir dan mendapat tempat di hati aku. 

Rasa kecewa dan kesal ada pada setiap orang. Bagi remaja, perasaan ini memang sudah sinonim. Masalah keluarga, putus cinta, dan gagal dalam peperiksaan adalah antara punca utama. Kebiasaannya apabila sudah kecewa, ramai yang sukar mengikisnya. Bagaimanapun, jangan biar ia mendorong anda bertindak di luar dugaan dan mengalami tekanan yang boleh merosakkan diri dan kerjaya. Sebagai remaja, anda perlu mengharunginya dengan matang.

TERIMA KENYATAAN - Kita hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan. Sebagai manusia, kita tidak boleh menentukan kehidupan kerana segalanya bergantung kepada takdir dan ketentuan Ilahi. Apa yang boleh kita lakukan ialah berusaha mengubah nasib kita. Ada ketikanya kita bernasib baik, tetapi ada masanya kita diuji pelbagai dugaan. Rasa kecewa itu antara ujian dan dugaan yang diberi kepada kita. Hadapinya dengan tenang dan reda kerana selain memiliki hikmah tertentu, ia pasti mengajar kita supaya lebih berhati-hati dan menjadikan kita insaf.

BERFIKIR - Senaraikan pro dan kontra apabila anda membuat sesuatu keputusan supaya anda tidak berasa terlalu kecewa apabila berlaku perkara yang tidak dijangkakan. Biarkan ia berlalu dan lama-kelamaan anda akan dapat mengatasinya sendiri.

BERFIKIRAN POSITIF - Cuba kenang kembali peristiwa kerana kebahagiaan yang anda miliki hari ini mungkin disebabkan pengalaman silam anda. Memang sukar untuk berfikiran positif apabila berdepan dengan sesuatu tragedi. Jangan terlalu mengikut perasaan, sebaliknya tumpukan kepada perkara positif yang pernah anda lakukan dalam hidup. Ia pasti banyak membantu anda apabila anda berdepan rasa kecewa. 

LUAHKANNYA - Bahaya jika memendamkan rasa kecewa kerana ia boleh memakan diri. Kesannya anda boleh mendapat kemurungan dan tekanan. Apa yang penting, anda perlu berkongsi rasa itu dengan menceritakannya kepada orang yang lebih rapat dengan anda. Bagi remaja, ibu bapa ialah individu paling sesuai. Jika anda mengadu, sedikit sebanyak perasaan kecewa itu akan reda dengan pujukan,  nasihat dan semangat yang anda peroleh daripada mereka. 

BERI TUMPUAN PADA HIDUP - Teruslah berusaha untuk mencapai matlamat diinginkan. Apabila anda mempunyai fokus, segala cabaran dan rintangan boleh dihadapi dengan mudah. Apa yang penting, jangan biarkan perkara remeh menghantui anda sehingga membuatkan anda kecewa.



1 comment: